Ahad, 23 Ogos 2009

Pesan Imam Shafie

Empat perkara yang boleh menyihatkan badan ialah:
* Makan daging
* Memakai haruman
* Kerap mandi
* Memakai pakaian dari kapas

Empat perkara yang boleh menajamkan pandangan ialah:
*Duduk menghadap kiblat
*Bercelak sebelum tidur
*Memandang kejadian ciptaan tuhan berwarna hijau
*Berpakaian bersih


Empat perkara yang boleh menajamkan fikiran ialah:
*Tidak banyak berbual kosong
*Rajin bersugi
*Bercakap dengan orang soleh
*Bergaul dengan golongan ulamak

Semua itu adalah dengan izin Allah dan kita perlu menuntut
ilmu dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan.

Khamis, 30 Julai 2009

Gambar-gambar Hari Berkhatam

Gambar-gambar Hari Berkhatam

Inilah antara sebahagian gambar yang diambil pada Majlis Berkhatam saya. Lihatlah anggota keluarga saya memberi sokongan kepada saya.



Saya sedang membaca surah-surah dengan ditemani oleh sepupu saya.


Datuk dan nenek saudara saya sedang khusyuk mengiringi pembacaan saya.


Saudara mara di bahagian perempuan.


Dari kiri Cikgu Sakmani(Cikgu saya), Ustaz Zaaba(Bapa Saudara dua pupu saya), Cikgu Hamzah(Datuk saudara saya)dan Pakcik Jais (jiran saya).


Dari kiri Maklong, Makngah, Mak Itam, Maklang dan Mak Uteh saya



Di hujung sana tu tiga orang kawan sekelas saya, salah seorang tu special saya, he, he, he.

Ahad, 26 Julai 2009

Majlis Khatam Al-Quran

Pada hari ini Ahad 26 Julai 2009, telah tercatat satu sejarah manis dalam hidupku. Pada hari ini aku telah berkhatam quran. Terima kasih tidak terhingga kepada ibu dan ayahku yang telah merancang dan melaksanakan program ini dengan begitu meriah sekali.

Program ini dirancang seminggu yang lepas. Aku masih ingat sekembalinya aku dari program motivasi, ayah dan umiku terus ke rumah Pakndak di Batu Pahat. Rupanya dari pendengaranku mereka berbincang untuk mengadakan majlis khatam quran untukku. Aku dengar mereka berbincang tentang menu, jemputan dan berbagai-bagai lagi.

Semalam rumah kami mula sibuk. Ramai saudara mara datang untuk menyiapkan kelengkapan. Antara yang datang awal ialah Pakndak sekeluarga dan Maklang sekeluarga. Menjelang malam semakin ramai yang datang. Mereka membersih dan menggoreng ayam, membersih dan memotong kacang, kentang, terung, lobak untuk hidangan esok. Sungguh meriah suasana di luar rumah, dalam keadaan terang benderang disimbah cahaya lampu kanak-kanak sebayaku bermain-main gembira, maklumlah sudah lama tidak merasai suasana kenduri seperti itu.

Di dalam rumah pula emak-emak saudaraku sibuk menyiapkan gubahan bunga telur, pulut kuning, bungkusan makanan ringan dan sebagainya. Ini untuk diagih-agihkan kepada tetamu yang datang hari esok. Suasana kemeriahan itu berlanjutan hingga ke tengah malam. Aku pun tidak sedar pukul berapa aku terlelap.

Hari ini, pagi-pagi lagi umi mengejutkan aku dari tidur. Selepas sembahyang subuh aku memakai pakaian baju melayu siap bersamping dan bersongkok untuk memulakan majlis. Aku menanti masa dalam debaran. Kalau berdasarkan jadual, majlis akan dimulakan pada pukul 10 pagi. Sementara menunggu pukul 10 pagi aku menunggu kawan-kawanku datang. Aku juga mengharapkan ustazah-ustazah sekolah agamaku datang kerana ayah dan umiku telah datang sendiri ke sekolah menjemput mereka.

Semakin lama semakin ramai tetamu yang datang. Pukul 10.00 tepat ayahku memulakan majlis. Dia mengambil pembesar suara dan mengalu-alukan tetamu yang hadir. Dia mengumumkan aturcara dan menyerahkan kepadaku untuk memulakan majlis khatam.

Dengan pengawasan Makndak di sebelahku, aku membaca surah demi surah dengan tenang dan teratur. Bermula dari surah ad-dhuha hingga al-fatihah semua hadirin mengiringi bacaanku setiap akhir ayat semua surah yang ku baca. Kemudian imam yang dijemput mengetuai majlis tahlil arwah. Aku kemudian mengakhiri dengan bacaan doa khatam quran. Tamatlah sudah majlis khatam secara rasminya. Kemudian ayahku menjemput semua tetamu yang hadir menikmati jamuan yang disediakan.

Aku tidak menafikan Pakndak memang pandai memasak. Menu pilihan umiku hari ini tadi ialah nasi minyak, ayam masak merah, dalca, acar nenas, ikan bulu ayam dan rendang ayam kampung Negeri Sembilan. Ada tambahan menu sebagai pencuci mulut iaitu karipap dan putri ayu serta buah-buahan seperti rambutan dan pulasan. Senarai makanan ini memang sedap tetapi bagiku aku rasakan tidaklah sehebat perasaanku. Jauh dalam hatiku aku begitu bangga sekali kerana aku telah khatam membaca quran, sesuatu yang menjadi kebanggaan semua kanak-kanak yang beragama Islam sepertiku.

Sehingga tengahari ramai tetamu berduyun-duyun datang. Ramai rakan sekerja ayah dan umiku hadir. Menjelang 2.00 petang tetamu telah berkurangan. Keluarga terdekat mengambil semula peranan masing-masing mengemas dan membersihkan peralatan dan perkakasan seperti sediakala.

Aku sangat bersimpati dengan ayah dan umiku kerana aku lihat mereka bertungkus lumus mengerah keringat dan tenaga menjayakan program ini. Penghargaan juga aku berikan kepada semua bapa dan emak saudaraku seperti Pakndak, Makndak dan Paklang dan Maklang yang tidak kering tangan bekerja demi memastikan program ini berjaya.

Akhir kalam, aku mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Umi, ayah, satu babak dalam kehidupanku telah berakhir. Di hadapanku masih banyak rintangan dan cabaran yang akan aku lalui. Aku pohon restumu umi, ayah. Doakanlah kejayaanku, agar aku akan berjaya dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara bila aku dewasa nanti.

Terima kasih.

Ahad, 19 Julai 2009

Lawatan Ke Singapura





















Pada 4 Julai 2009 yang lalu saya bersama keluarga telah melancong ke Singapura. Lihatlah aksi-aksi saya di sana. Memang saya takut juga kerana ada wabak H1N1 tapi saya berusaha dan bertawakal.

ASSALAMUALAIKUM.